Ahad, 21 Disember 2014

Masa bergerak pantas ke? Atau manusia yang leka?

“Sekejap saja masa kini berlalu!”, itu ayat yang biasa kita dengar malah seringkali kita sendiri ucapkannya. Kepantasan masa kini semakin ketara dengan peningkatan umur kita, lebih-lebih lagi jika tinggal dan bekerja di bandar.
Kita terkejar-kejar sepanjang masa dari pagi sehingga ke petang dan kadang-kadang sehingga ke malam. Apakah dunia berpusing dengan lebih laju sekarang ini?.
Penciptaan alam dan segala isinya termasuklah bumi dan segala cakerawala yang kita duduki ini berlaku dengan amat terperinci sekali. Allah menjadikan segala kejadian alam sentiasa tunduk pada kejadiannya.
Segalanya terletak pada landasannya dan sebagaimana bumi bergerak selaju 700 batu sejam sejak dulu, begitu jugalah sekarang ini tidak ada perubahan.
Sebab itu kita dapat mengira bila berlakunya gerhana matahari atau bulan dalam tempoh seribu tahun lagi yang akan datang dan bila tiba waktunya ia akan berlaku sebagaimana yang telah kita jangka, tanpa ada apa-apa perubahan.
Begitulah Maha Hebatnya perancangan dan ciptaan Allah Taala yang sungguh terperinci. Jadi jelas di sini bahawa bumi tetap mengikuti rentaknya seperti biasa dan masa 24 jam sehari tetap masih sama seperti dulu juga. Habis kenapa masa kini berlalu begitu pantas?
Sebenarnya masa sentiasa cukup sebanyak 24 jam sehari, cuma perkara yang kita lambakkan untuk dilaksanakan dalam tempoh 24 jam tersebut sahaja yang semakin meningkat.
Kita semakin membuatkan dunia di dalam diri kita sendiri semakin laju sehingga menjadikan wujudnya dua jenis jam dalam alam ini. Satu yang nyata yang berdetik pada jam tangan kita dan satu lagi yang berdetik di dalam minda kita sendiri.
Uji bagaimana jam dalam diri anda berdetik
Kita boleh menguji samada jam dalam minda kita berdetik sebagaimana jam di dunia nyata atau tidak dengan  melakukan langkah berikut:
  • Set jam tangan selama 5 minit.
  • Pejamkan mata dan jangan buat apa-apa.
  • Ketika pejam itu ingatkan diri bahawa kita sedang hidup sekarang ini dan tidak ada sesiapa yang boleh mengambil kehidupan kita kecuali Tuhan. Masa yang kita ada adalah kepunyaan kita untuk kita gunakan sebaiknya. Berterusan bayang dan fikirkannya.
  • Setelah kita rasa lima minit telah berlalu, bukan mata dan lihat berapa lama kita ambil untuk pejam mata tadi.
Jika kita pejam selama 5 minit sebagaimana yang ditunjukkan oleh jam kita, maka, sebenarnya kita tidak terkejar-kejar sangat dalam kehidupan kita dan kita benar-benar menghayati kehidupan ini.
Jika masa kita buka mata dan waktu baru menunjukkan 2 atau 3 minit, maka ia menunjukkan jam dalam minda diri kita berdetik teramat pantas dan kita sedang berada di dalam dunia sibuk tak terkawal.
Akhirnya jika masa kita pejam setelah kita buka mengambil masa jauh melebihi 5 minit, maka kita nampaknya ada terlalu banyak masa terluang dan tak tahu nak buat apa dan elok isikan sedikit lagi masa kita dengan aktiviti bermanafaat.
Bagi mereka yang jam minda dirinya berdetik teramat pantas sudah tentu merasakan waktu berlalu teramat pantas. Jika anda mahu perbetulkan masalah tersebut berikut beberapa tips berguna yang boleh kita amalkan:
1. Luangkan lebih masa kini anda untuk melihat.
 Pelik juga sedangkan kita sentiasa melihat?, jika kita sangka kita sentiasa melihat sebenarnya kita salah. Para saintis mendapati masa yang diambil manusia untuk melihat dalam tempoh 50 tahun kebelakangan ini menurun dengan begitu mendadak sekali.

Bila kali terakhir kita melihat titisan embun yang berada di hujung rumput di waktu pagi? semalam, kelmarin, tahun lalu atau dah tak ingat? sedangkan ia sentiasa berada di sekeliling kita dan kita tidak ada masa untuk melihatnya.

Itulah yang Al-Quran katakan manusia itu punyai mata tetapi hanya sedikit yang menggunakan dia untuk melihat. Banyak lagi perkara yang kita sudah lama tidak berhenti sejenak melihat. Bagaimana nak berhenti melihat sedangkan kepala otak kita asyik fikirkan duit, kerja, wanita, tekanan, dan lain-lain samada ketika berjalan, memandu atau di mana-mana saja, kita tidak melihat.

Cukuplah dengan kelam kabut kita. Mulakan melihat apa yang ada di sekeliling kita. Wajah anak-anak kita, pucuk daun yang baru keluar di pokok pada taman depan rumah kita. Anak burung mencicip diberikan makan ibunya.
Berbagai lagi benda yang telah lama kita tidak melihat dan kita biarkan semuanya berlalu. Dengan tanam azam untuk lebih melihat, insyallah masa akan menjadi lebih perlahan.

2.Sebutkan nama benda yang kita lihat

Jangan hanya melihat. Cuba ingat kembali apa namanya benda yang kita lihat tersebut. Kalau tak tahu jadikan ia satu tugasan untuk mengetahuinya. Setelah anda tahu dan anda terlihatnya semula sebutkannya dengan kuat dan jelas.
Biarlah kita jadi macam kanak-kanak, sebab memang itupun matlamat kita untuk tanam semula nilai kehidupan yang tidak sepatutnya berserabut dan terlalu cepat.

Biarkan sifat ingin tahu kita berkembang seperti kanak-kanak. Ingat kehebatan Nabi Adam antaranya adalah keupayaannya mengenali nama benda-benda yang dilihatnya setelah Allah mengajarnya.
Anda tentu akan dapat rasakan perbezaan apabila anda mula mengenali apa yang anda lihat dan boleh menyebut namanya. Ini juga secara lansung membuatkan diri kita merasa lebih sedar dan mula menyaksikan segala tanda-tanda kewujudan Pencipta.
Semakin banyak yang kita lihat semakin banyak yang kita nampak semakin terisi kehidupan kita.

3. Jalankan amalan rutin kita dengan lebih perlahan.

Kita biasanya melakukan perkara rutin kita dengan pantas. Maklumlah sebab dah terlalu biasa dan boleh dilakukan dengan hanya pejam mata. Kebiasannya kita terjun masuk dalam kereta lalu terus cucuk kunci dan hidupkan kereta kita.
Kita mula masukkan gear dan dalam masa yang sama tarik talipinggang keselamatan dan pasang. Kita tekan minyak berdesup melintasi rumah jiran, kita buka mata tetapi tidak pernah melihat apa ada di sekeliling kita sedar-sedar kita terpaksa berhenti di lampu isyarat trafik kerana warna bertukarmenjadi merah.

Itupun kita masih tidak melihat sedangkan kita masih membuka mata. Kita merenung ke depan seolah-olah melihat, namun kita hanya berkhayal dengan tugasan atau masalah kita seolah-olah ada satu hijab menutup antara mata dengan apa yang berada di sekeliling kita.

Apa salahnya perlahankan ia sedikit dan nikmati kesempurnaan apa yang anda sedang lakukan itu. Perlahankan masa anda. Jika anda makan umpamanya, jangan kelam kabut dan gelojoh.
Suap perlahan-lahan, tengok bagaimana rupa nasi yang ada dalam pinggan anda, besar mana butiran nasi itu, perlahankanlah dan nikmati betul-betul kunyahan dan rasai keenakan makanan yang merupakan rezki anda pada hari itu.

4. Betulkan cara bernafas

Ini ramai yang dah tak perasan. Kita tentu sangka bernafas adalah dengan mengembangkan dada apabila kita menarik nafas masuk ke dalam rongga badan. Sebenarnya kita menyedut nafas melalui perut.
Perut sepatutnya kembung atau mengembang bila menyedut udara. Perut perlu kempis bila menghembus udara.

Semuanya berpunca apabila kita berhenti melihat. Bila kali terakhir kita melihat seorang bayi yang sedang lena tidur. Bila kali akhir kita lihat dan renung muka bayi yang sedang menarik nafasnya laju, bagaimana alun badannya ketika dia menarik nafas adakah dadanya yang beralun atau perutnya yang beralun.

Jika kita mula melihat, kita tentu akan mula bertanya kenapa perutnya kembang dan kuncup kenapa bukan dadanya yang kembang dan kuncup. Kenapa dia bernafas melalui perut dan apakah cara bernafas yang sebenarnya.
Kawal semula cara kita bernafas dan secara sedar kita akan perasa yang kita sedang hidup dan sedang bernafas. Bernafaslah secara perlahan-lahan dan rasai pernafasan kita, insyallah masa akan perlahan semula.

Cubalah amalkan apa yang disebutkan di atas untuk kembalikan masa kini anda lebih berkualiti dan bermakna dan seterusnya meletakkan semula masa kini pada landasannya semula

Ahad, 7 Disember 2014

25 Perkataan ” JANGAN ” Yang Perlu Dijauhi…

1. Jangan sengaja lewatkan solat. Perbuatan ini Allah tidak suka, syaitan sangat kasih orang yang begini. Kalau tertidur lain cerita.
2. Jangan masuk ke bilik air tanpa memakai alas kaki (selipar). Takut kalau-kalau terbawa keluar najis, mengotori seluruh rumah kita. Kata ulama, kuman dari dalam tandas akan mengikut kaki kita semasa keluar dari tandas. Kata orang tua2, masuk tandas tanpa alas kaki mewarisi kepapaan.

3. Jangan makan dan minum dalam bekas yang pecah atau sumbing. Makruh kerana ia membahayakan. Orang tua-tua berpesan minum atau makan pada bekas retak/sumbing membawa malang.
4. Jangan biarkan pinggan mangkuk yang telah digunakan tidak berbasuh. Makruh dan mewarisi kepapaan. Bekas makanan yang dibiarkan bermalam, membawa penyakit.
5. Jangan tidur selepas solat Subuh, nanti rezeki mahal (kerana keluar kerja berpagi-pagi itu membuka pintu berkat).
6. Jangan tidur selepas solat asar atau pada waktu asar. Makruh dan mewarisi gila / penyakit mental. Kalau tak kena pada diri kita, ia akan kena pada anak atau cucu kita pula.
7. Jangan tidur selepas solat maghrib atau pada waktu maghrib. Mudah dirasuk syaitan dan mudah terkena sakit belakang dan sakit kepala.
8. Jangan makan tanpa membaca BISMILLAH dan doa makan. Nanti rezeki kita dikongsi syaitan.
9. Jangan makan makanan laut bersama makanan darat serentak. Bahaya pada perut dan toksin di dalam badan.
10. Jangan keluar rumah tanpa niat untuk membuat kebaikan, atau keluar tanpa tujuan yang baik. Takut-takut kita mati dalam perjalanan, tidak dapat pahala. Tuhan pun tidak redha pada kita.

Jumaat, 5 Disember 2014

Aku sunyi tanpamu sahabat‎,....

Bismillah wal Hamdulillah...
Allahumma solli 'ala sayyidina muhammad wa 'ala alihi wasohbihi ajma'iin..


SAHABAT...KAWAN...TEMAN...semua orang pasti x terlepas dari ada kawan kan? walaupun hanya seorang..huhu..tp bezanya kawan yg bagaimana yg kita ada? dan yg lg penting, bagaimana kita sendiri sbg seorang kawan kpd kawan, adakah cukup membahagiakan teman tersebut atau kehadirannya hanya menyakitkan hati??? na'uzubillah..moga2 kita dapat mnjadi seorang kawan yang baik dan sentiasa disenangi oleh teman-teman..insyaAllah..(^_^)


ikatan yang terjalin kerana Allah pasti akan berpanjangan tiada penghujungnya...yang jauh sentiasa dirindui, yang dekat pastinya di hati..sahabatku, aku merindui mu..sahabatku, aku sayang kamu...moga Allah sentiasa memberkati..



Sahabat...
Takkan ceria hidup ini tanpamu
Takkan terpandu diri ini tanpa peringatan darimu
Takkan terubat gelora hati tanpa nasihatmu

Sahabat...
setiap detik kita berselisih
Setiap detik itulah fikiran & hati terasa letih
Jiwa & Iman meringkuk sedih
Hidup terus sunyi dari semangat yang tinggi
Semua itu hadirnya bersama sahabat di sisi
kerana itu aku begitu mengharapkanmu menyuntik inspirasi

Ukhuwah kita diikat fillah
Hati kita bertaut di jalan Allah
Tiada lain asbabnya kita hidup bersama
melainkan kerana kalimah LAILAHAILLALLAH..

Justeru
ingatlah sahabatku
salah kita biarlah sama-sama kita betulkan
sangka kita biarlah yang terbaik kita letakkan
gaduh kita mungkin membantutkan matlamat perjuangan
rajuk kita mungkin menyesakkan gerakan
persahabatan kita punya misi
aku perlu kamu
maafkan aku

moga ukhuwah kita dirahmati-NYA..

Mana mungkin liku-liku ini dapat kulalui tanpamu
Langkah terasa berat tanpa dirimu disisi
Cakapku terjerat bila kau jauh dariku
Kerana aku betul-betul perlukanmu dalam meniti jalan ini
Engkau bukan siapa-siapa melainkan teman dakwahku.
Doakan aku,
temankan aku,
Hiburkan aku dengan ayat-ayat cinta-NYA..
Moga Allah memeliharamu..amin...

<3...uhibbukum lillah...<3

HANYA PADA-MU AKU BERSUJUD...HANYA PADA-MU AKU MEMOHON PERTOLONGAN

Khamis, 4 Disember 2014

Kalau Saya Pergi Dulu

Awak
Kalau saya pergi dulu
Saya nak tanya awak
"Pernah tak awak menyintai saya?"

Awak
Kalau saya pergi dulu
Saya nak awak tahu isi hati saya
Saya sayang awak
Tapi ...
Sampai hati awak tinggalkan saya
Awak membisu seribu bahasa
Awak biarkan saya seorang diri
Sedangkan awak pernah berjanji
Akan bersama saya

Awak,
Saya cuba menjadi sempurna di mata awak
Saya cuba lakukan yang terbaik untuk awak
Tapi saya tahu itu tak cukup buat awak
Saya tetap bukan pilihan awak
Awak tetap pergi tinggalkan saya

Awak
Sejak awak pergi 
Saya melalui hari-hari saya dengan sepi sekali
Semua kegembiraan saya lenyap sekelip mata
Walau luarannya orang masih lihat saya tersenyum, tertawa, makan dan minum
Namun ....
Jiwa saya kosong
Diri saya telah lama mati dihari awak tinggalkan saya

Awak
Sampai hati awak tinggalkan saya
Awak tak pedulikan saya
Sedangkan awak tahu
Saya bernafas dengan cinta awak
Setiap denyutan jantung saya berdenyut dengan menyebut nama awak
Tapi sampai hati awak ....

Awak,
kalau hari ini hari terakhir saya hidup
Kalau hari ini hari terakhir jantung saya berhenti berdenyut
Saya nak awak tahu
Walau betapa jahatnya perbuatan awak pada saya
Awak tetap istimewa di mata saya

Awak
Kalau saya pergi dulu
Maafkan saya ya awak...
Kita tak tahu bila kita akan pergi, 
Mungkin hari ini, esok atau lusa
Tapi saya nak awak tahu
Saya Cintakan Awak........

Rabu, 3 Disember 2014

Persiapakanlah 7 Bekalan Untuk Menghadapi Saat Kematian

Sahabat yang dirahmati Allah,
Sesiapa pun tidak dapat menduga bilakah saat kematian mereka akan tiba. Sebab itu ramai yang masih leka dan tiada persediaan 'menanti' saat kematian mereka.

Firman Allah s.w.t.yang bermaksud : "Apabila nafas (seseorang) telah sampai ke kerongkong, dan dikatakan kepadanya, "' Siapakah yang dapat menyembuhkan'. Dan dia yakin bahawa sesungguhnya itulah waktu perpisahan dan bertaut betis kiri dan betis kanan, kepada Rabbmulah pada hari itu kamu dikembalikan." (Surah al-Qiyamah ayat 26-30).

Allah berfirman yang bermaksud: "Setiap yang hidup akan merasai mati, dan Kami menguji kamu dengan kesusahan dan kesenangan sebagai cubaan; dan kepada Kamilah kamu akan kembali."(Surah al-Anbiyak ayat 35)

Hidup dizaman kemajuan ICT dan dunia tanpa sempadan, kejadian mati mengejut dan mati ditimpa musibah adalah sesuatu perkara biasa. Di negara kita sendiri kematian disebabkan kemalangan jalan raya, mati disebabkan sakit jantung dan mati mengejut yang lain adalah beberapa kes kematian  yang sering berlaku setiap hari.

Soalannya, apakah persiapan kita bila mati datang mengejut? Adakah kita telah membuat persiapan sekiranya saat kematian itu datang? Ketika itu apakah yang dapat kita bawa bersama sebagai teman setia yang akan membantu kita menghadapi saat getir di alam barzakh?

Sahabat yang dimuliakan,
Terdapat tujuh amalan atau persiapan yg perlu kita lakukan sebelum ajal datang menjelma, maksudnya kita dah buat persiapan awal tanpa kita tunggu masa yg sesuai, selagi boleh kita buat kita terus melaksanakannya.

Amalan Pertama : Setiap hari hendaklah bertaubat dan beristighfar.

Rasulullah s.a.w. pernah menasihati umatnya agar sentiasa bertaubat kepada Allah : "Wahai sekelian manusia, bertaubatlah kamu kepada Tuhan sebelum kamu mati. Gunakanlah kesempatan yang ada untuk beramal dan berbakti sebelum masa kamu dipenuhi oleh urusan dan kerja. Wujudkanlah satu pertalian antara kamu dengan-Nya, memperbanyakan mengingati-Nya (zikrullah)."

Sabda Rasulullah s.a.w bermaksud :"Orang yang bertaubat dari dosanya adalah seperti orang yang tidak punya dosa."

Rasulullah s.a.w .beristigfar lebih tujuh puluh kali sehari supaya lidah dan hati sentiasa menyebut dan mengingati Allah s.w.t.

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud :“Dan tidaklah Allah akan mengazab mereka, sedang mereka meminta ampun (istighfar)”(Surah Al-Anfal ayat 33)

Amalan Kedua : Betulkan solat kita dan cuba untuk khyusuk.

Jangan lambat-lambatkan solat bagi lelaki cuba solat berjemaah dimasjid. Solat adalah amalan yg pertama disemak di hari akhirat nanti jika solat diterima maka amalan lain juga akan diterima.

Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud :"Berapa ramai orang yang mendirikan solat, tetapi yang diperolehinya hanya penat dan letih kerana mereka itu lalai dalam solatnya."

Khusyuk menjadi syarat sama ada solat seorang akan diterima oleh Allah. Jika khusyuk tidak wujud dalam diri orang yang menunaikan solat, maka ruang kosong itu pasti terisi dengan sifat lalai. Oramg yang lalai tidak akan merasai keagungan Allah, sekalipun lidahnya mengucapkan kalimah-kalimah yang mengandungi kata-kata pujian kepada Allah.

Daripada Abu Hurairah, katanya bahawa Rasulullah saw bersabda bermaksud: "Sesungguhnya amalan yang mula-mula sekali dihisabkan seseorang pada hari kiamat mengenainya ialah solatnya, jika solatnya diterima, maka sesungguhnya beruntung dan berjayalah ia. Jika solatnya tidak diterima, maka kecewa dan rugilah ia. Jika terkurang daripadanya solat fardu sesuatu. Allah berfirman: 'Periksalah, adakah hambaku itu mempunyai solat-solat sunat untuk dicukupkan dengannya apa yang terkurang daripada solat fardu. Demikianlah keadaan amalan lain."(Hadis Riwayat Tirmizi)

Amalan Ketiga selesaikan semua hutang :

Roh seorang Mukmin yang beriman atau pun roh seorang syuhada akan tergantung diantara langit dan bumi kerana hutangnya yg belum diselesaikan. Jangan tanguh-tanguh untuk membayar hutang. Apabila mempunyai wang yang cukup terus membayarnya.

Salah satu perkara yang sangat menakutkan apabila hutang itu tidak dapat diselesaikan ialah bilamana orang yang masih menanggung hutang itu mati atau meninggal dunia dalam keadaan hutang yang belum habis diselesaikan. Anak-anak , isteri dan waris-waris pula tidak tahu ataupun tidak mahu bertanggungjawab untuk menyelesaikan hutang si mati di mana mengikut hadis org yg mati sedangkan ia masih berhutang maka rohnya terapung-apung dilangit dan semua amalannya tergantung.

"Dari Abi Hurairah Radiallahuanhu katanya: Telah bersabda Rasulullah s.a.w maksudnya : "Roh seseorang Mukmin itu tergantung-gantung (dihalang daripada tempat yang mulia) dengan sebab hutangnya sehinggalah hutangnya itu dilunaskan.''(Riwayat Al-Imam Al-Tarmizi).

Oleh itu tulislah satu surat wasiat dan senaraikan semua hutang-hutang yang ada lengkap dengan jumlah dan nama dan alamat orang yang memberi hutang, serahkan kepada waris terdekat atau pemegang amanah (syarikat yang menguruskan wasiat) apabila mati datang mengejut urusan hutang-piutang ada pihak lain yang akan menyelesaikannya supaya  rohnya kembali kepada Allah s.w.t. dalam keadaan tenang tidak tergantung.

Amalan Keempat :Banyakkan sedekah jariah.

Termasuk dalam kategori sedekah jariah ialah harta yang diwaqafkan, termasuk tanah, rumah, kebun atau lain-lainnya untuk dimanfaatkan oleh orang lain. Misalnya, seseorang mewaqafkan bangunan untuk dijadikan sekolah, asrama, hospital, masjid dan seumpamanya.

Mendirikan bangunan untuk kepentingan awam yang dihalalkan Islam juga dikira sedekah jariah. Menubuhkan perpustakaan atau pusat sumber bagi meningkatkan ilmu dan iman orang Islam juga amal jariah yang sangat dituntut.

Mendirikan rumah waqaf untuk kaum kerabat sahaja atau umum untuk orang-orang miskin yang memerlukan tempat berteduh atau untuk disewakan dan hasilnya dikhairatkan untuk kebajikan umum.

Mendirikan rumah "musafir khanah" untuk persinggahan orang-orang musafir yang memerlukannya.  Dan lain-lain lagi yang termasuk dalam amalan yang diredhai Allah seperti  mencetak al-Qur'an dan kitab-kitab Islam serta buku-buku pengetahuan yang berguna dan sebagainya. Amalan "waqaf" dalam Islam ini telah bermula semenjak zaman Rasulullah s.a.w.

Selagi harta benda yang diwaqafkan itu masih wujud dan dinikmati faedahnya olah umum maka tuan punya harta itu akan mendapat pahalanya berterusan semasa ia hidup dan sesudah ia mati.

Daripada Abu Hurairah, Rasulullah ada bersabda, bermaksud: “Apabila seorang mati, putuslah amalannya kecuali tiga perkara, (iaitu): Sedekah jariah, ilmu yang memberi faedah kepada orang lain atau anak yang solih yang berdo'a untuknya.” (Hadis Riwayat Muslim dan lain-lain termasuk Imam Ahmad.)

Amalan Kelima :  Ilmu yang bermanfaat.

Iilmu yang dapat dimanfaatkan maksudnya ilmu yang diajarkan ketika seseorang itu masih hidup dan ia kemudiannya dimanfaatkan pula oleh orang lain, maka pahala mengajar itu berterusan selagi orang yang menerima ilmu itu mengamalkannya.

Ilmu yang dimaksudkan dalam hadis ini ialah ilmu agama dan juga ilmu mengenai dunia. Ilmu agama ialah al-Qur'an dan al-sunah serta segala cabangnya. Ilmu dunia ialah sains alam, dan pengurusan pentadbiran dan kenegaraan serta yang berkaitan dengannya.

Pahala diterima oleh mereka yang menyebarkan ilmu berkekalan hingga hari kiamat selagi manusia dapat manfaat daripada ilmu yang diajarkan itu. Ilmu yang disebarkannya itu, sama ada melalui syarahan, penulisan kitab, akhbar atau majalah atau apa-apa rakaman yang dapat dirujuk dalam bentuk cetak dan elektronik maka ia mendapat ganjaran berkekalan.

Abu Hurairah r.a. berkata: Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya : "Sesiapa yang mengajak ke jalan hidayat, maka baginya dari pahala seperti pahala (sebanyak pahala) pengikutnya, dengan tidak mengurangi sedikit pun dari pahala mereka. Dan sesiapa yang mengajak ke jalan sesat, maka menanggung dosa sebanyak dosa-dosa pengikutnya, dengan tidak mengurangi dari dosa-dosa mereka sedikit pun. (Diriwayatkan oleh Imam Muslim)

Amalan Keenam : Anak yang soleh  yang mendo'akannya .

Anak yang dididiknya ketika hayatnya hingga menjadi orang soleh dan sentiasa mendo'akan kesejahteraan ibu bapanya sesudah meninggal dunia. Hadis ini memberi jaminan do'a anak yang soleh kepada orang tuanya diterima Allah s.w.t.

Do'anya itu bukan sahaja rahmat kepada kedua ibu bapanya yang masih hidup atau yang telah mati, tetapi akan membawa kebaikan dan pahala yang besar kepada anak itu sendiri. Sungguh beruntung anak yang sentiasa mengingati kedua ibu bapanya dengan mendoakan mereka selepas mengerjakan solat dan semasa berada pada hari baik bulan baik atau semasa berada di tanah suci yang sangat berkat dan mustajab doa padanya.

Sebaik-baiknya berdo'alah seperti berikut:

رَبِّ اغْفِرْ لِي وَلِوَالِدَيَّ وَارْحَمْهُمَا كَمَا رَبَّيَانِي صَغِيْرًا. "Ya Tuhanku, ampunilah dosaku dan dosa kedua ibu bapaku serta cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil."

Menurut panduan al-Qur'an pada tiap-tiap kali seseorang itu berdoa memohon rahmat bagi dirinya ibu bapa dan kaum kerabatnya eloklah ia meluaskan do'anya itu sehingga meliputi umat Islam umumnya yang hidup dan yang mati.

Sebab itu eloklah ia mengakhiri doanya dengan menyebut: وَلِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ وَالْمُؤْمِنَاتِ الأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالأَمْوَاتِ بِرَحْمَتِكَ يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِيْنَ."Dan ampunilah dosa-dosa orang-orang Islam lelaki dan perempuan; dan dosa orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan; yang hidup dan yang mati. Dengan kelimpahan rahmat-Mu wahai Tuhan yang tidak ada taranya tentang limpahan rahmat-Nya."

Di dalam Syurga, seseorang diangkat darjatnya oleh Allah lalu dia bertanya kepada Allah: “Ya Tuhanku, bagaimana saya mendapat darjat kebesaran ini?”.

Firman Allah bermaksud : “Ini disebabkan do'a anakmu yang memohonkan keampunan bagimu.” (Riwayat Imam Ahmad - Mustika Hadis).

Amalan Ketujuh : Meminta maaf kepada semua orang yang kita melakukan dosa kepada mereka.

Tidak perlu menunggu Hari Raya. Dosa mengumpat, memfitnah, menyakiti hati orang dan mengambil hak mereka. Jika kita telah terambil hak atau barang-barang mereka maka pulangkanlah.

Anak segeralah memohon ampun kepada kedua ibu bapa. Isteri hendaklah segera memohon ampun kepada suami. Murid hendaklah memohon kemaafan kepada guru-guru. Kita hendaklah memohon maaf kepada saudara-mara, jiran tetangga, sahabat handai, rakan sekerja dan sesiapa saja yang kita rasa telah melakukan dosa kerana Allah s.w.t. tidak akan mengampunkan dosa yang dibuat sesama manusia.

Sahabat yang dihormati,Amalkanlah tujuh perkara tersebut sebagai usaha-usaha kita semasa di dunia ini supaya apabila kita bertemu Allah di alam barzakh dan hari akhirat nanti kita telah membuat sesuatu yang dapat membantu kita dan menyelamatkan kita daripada halangan dan gangguan untuk mendapat keampunan di sisi Allah s.w.t.

Pepatah ada megatakan : "Sediakan payung sebelum hujan" untuk kita menghadapi saat kematian maka kita perlu sediakan tujuh perkara sebelum kita dipanggil pulang oleh Allah s.w.t.

Firman Allah s.w.t. maksudnya : “Hai jiwa yang tenang. Kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang puas lagi direrdhaiNya. Maka masuklah ke dalam jema’ah hamba-hamba-Ku. Masuklah ke dalam Syurga-Ku” (Surah Al-Fajr ayat 27-30)