Pandanglah
wajah orang yang paling kita sayangi… samada ibu, bapa, suami, isteri, anak-anak
atau siapa sahaja. Pasti kita akan berpisah dengannya satu hari nanti. Detik
itu pasti datang. Itu janji kita sejak dulu… sanggup datang, sanggup pulang.
Kita dan dia pasti berpisah oleh takdir yang dinamakan kematian.
Itulah
detik yang paling menyedihkan. Sedih bagi mereka atau kita yang ditinggalkan.
Dan lebih sedih bagi kita yang mungkin meninggalkan. Tidak kira siapa yang
dahulu, siapa yang kemudian – ditinggalkan atau meninggalkan pasti
menggetirkan.
Seorang
isteri yang kematian suami… ketika seluruh dan sepenuh hati masih bersamanya.
Masih banyak yang perlu diselesaikan – anak-anak, cita-cita dan harapan –
tetapi ajal maut datang memutuskan segala dan semua yang kita inginkan. Ya,
kita cuma hamba. Pada kita cuma tadbir, pada-Nya segala takdir.
Kekadang
masih tak puas bermanja dengan ayah dan ibu… tiba-tiba sahaja mereka dipanggil
pergi. Hingga lidah kelu dan hati sayu, tidak ada lagi insan yang boleh panggil
ibu. Oh, sedihnya apabila ditinggalkan ayah… insan yang paling kita yakini
sangat mencintai kita dan kasihnya yang tidak pernah berbelah, tetapi terpaksa
berpisah!
Sekiranya
saat ini kita diuji dengan kematian… ditinggalkan oleh yang tersayang. Maka
kenangkanlah hidup kekasih Allah, Rasulullah saw. Bukankah baginda telah
dididik oleh mehnah paling getir yang bernama kematian? Bukankah ayahnya
Abdullah pergi dulu sebelum sempat baginda dilahirkan? Ibunya Aminah menyusul
beberapa tahun kemudian.
Tidak
sempat bermanja lama dengan datuknya Abdul Mutalib, datuknya pula
meninggalkannya. Lalu baginda yang yatim lagi piatu itu dipelihara oleh bapa
saudaranya Abu Talib.
Kenangkan
zaman kanak-kanak Rasulullah, tanpa ibu-bapa tetapi telah tega menjadi gembala
kambing. Padang pasir dan angin kering menjadi sahabatnya. Lukisan alam itulah
yang melakarkan jiwa suci dan akal tajamnya hingga mencari-cari makna
kehidupan. Tidak sudi dia menjengah jahiliyah. Tidak rela dia dengan maksiat
dan dosa. Hatinya berkata, bukan itu kebenaran dan kebahagiaan… lalu dia
menyendiri di dalam gua. Jika tidak mampu mengubat, jangan dijangkiti. Lalu
baginda lari… menyendiri.
Sejak
baginda berkahwin dengan Khadijah, itulah srikandi sejati cintanya. Yang
membawa bekal makanan ke gua Hira’. Yang menyelimuti tubuh dinginnya apabila
digegar wahyu pertama. Yang memberikan jiwa dan harta untuk dia berdakwah,
berjuang apabila digesa oleh surah Mudasthir (orang berselimut) – qum faanzir –
bangun dan serulah! Itulah Khadijah kekasih Rasulullah, insan terhampir
ketika semuanya meminggir.
Namun
tidak lama, di tahun dukacita itu… Khadijah pergi buat selama-lamanya. Baginda
kehilangan dorongan – pada jiwa dan harta. Khadijah tiada lagi. Pergi
ketika kasih dan cintanya masih didambakan. Sudah hilang bisikan yang
memberikannya semangat, kasih sayang, pembelaan dan kemesraan. Baginda berdukacita…
Namun, selang hanya beberapa bulan satu kehilangan berlaku lagi. Abu Talib pula
pergi. Sedihnya, dia pamit tanpa syahadah.
Tiada
lagi perisai yang melindunginya daripada ancaman fizikal kaum Quraisy.
Bila-bila masa sahaja pedang, tombak dan panah kaum jahiliah boleh menerjah.
Jika dengan kematian Khadijah, baginda kehilangan dorongan. Dengan kematian Abu
Talib baginda kehilangan perlindungan. Tanpa dorongan, tanpa perlindungan,
Rasul keseorangan untuk meneruskan perjuangan.
Tidak
cukup dengan itu, ketika Islam sudah bertapak di Madinah. Seorang ayah bernama
Rasulullah, kehilangan pula puteri-puteri kesayangannya Zainab, Ruqayyah
dan Umi Khalsum… Subhanallah, tabahnya hatimu ya Rasulullah. Kematian demi
kematian, tetapi kau terus hidup dengan hati yang berjuang. Seolah-olah
kematian yang menyedihkan itu menjadi obor perjuanganmu menerangi hati umat
yang mati ini!
Ya,
saudara-saudaraku. untuk apa semua ini dilakukan oleh Allah yang Maha Kasih
kepada kekasihNya Muhammad? Ya, jangan bergantung kepada selain-Nya. Hanya
bergantung kepada-Nya. Lalu jika kau kini sedang diuji dengan kematian suami,
isteri, ibu-bapa, anak-anak, kenangkanlah hidup kekasih Allah, Rasulullah. Mari
kita hayati dan mengambil ibrah dari setiap episod kematian yang telah
dilaluinya.
Jika
kita kematian ayah, ibu, datuk, isteri, ayah saudara, anak dan sahabat… kita
kenangilah hidup Rasullullah yang telah melalui segaladan semua itu. Hinggalah
di saat akhir ketika baginda pula yang dipanggil pergi, ketika Siti
Aishah, Fatimah, Ali dan lain-lain saudara serta sahabatnya berada di sisi,
baginda sudah bersedia, mehnah Allah sudah sampai ke kemuncak… baginda pula
yang akan pergi.
Baginda
sangat mencintai semua yang bakal ditinggalkan, tetapi baginda lebih cinta
kepada Allah yang bakal ditemuinya. Lalu mulut baginda hanya mengucapkan,
“rafiqil a’la. rafiqil a’la… teman daerah tinggi (Allah), teman daerah tinggi
(Allah). ” Ya, baginda sudah pasrah meninggalkan cinta daerah rendah… untuk
terbang ke syurgawi, menemui cintanya di daerah tinggi!
Kepada
isteri-isteri yang kehilangan suami, dan mereka yang kehilangan orang
tersayang, atau kita yang bakal kehilangan…yang menziarahi blog ini untuk
mendapat sedikit cicipan ketenangan, aku yang daif ini cuma mampu menghadiahkan
satu tulisan yang telah ku muatkan dalam bukuku ‘DI MANA DIA DI HATIKU” –
tajuknya:
ANDAI
DIA PERGI DULU SEBELUM MU…
Andai
dia pergi dulu sebelum mu, sepuhlah air mata dan teguhkanlah jiwa. Kita yang
masih hidup perlu menyambung perjuangannya. Tidak mengapa bersedihlah seketika.
Itu fitrah jiwa. Namun sederhanalah kerana esok kau mesti bangkit semula.
Katakan pada diri, ya… kau telah pergi, pergi bersama doa ku. Kau tunggu di
sana, pasti aku akan menyusul nanti!
Andai
dia pergi dulu sebelum mu, tanyakan pada hati mu yang sebati dengan hatinya,
apa yang dia inginkan jika dia masih di sisi? Renung wajah anak-anak mu,
lontarkan fikir melampaui kesedihan. Anak-anak mu punya masa depan. Di tangan
mu segala cita-cita dan harapan. Jangan sampai nestapa ini menjadi halangan.
Apakah kau tega mengecewakan?
Andai
dia pergi dulu sebelum mu, katakan pada diri, akan ku galas amanah ini.
Sekiranya terpaksa bertongkat dagu pun, aku tidak akan lemas
dipagut sendu. Berjuanglah, agar dia bisa senyum di Barzakh itu. Oleh nukilan
doa anak yang soleh dan solehah. Kalau benar cinta itu setia, anak-anak itulah
titiannya. Di jambangan munajat, di taman ibadat, tentu ada sungai pahala… yang
mengalir selamanya..
Andai
dia pergi dulu sebelum mu, walau pun dia tidak akan kembali lagi, tetapi itu
akhir pertemuan. Dulu kita bertemu untuk berpisah. Kini kita berpisah
untuk bertemu. Inilah jalan takwa yang telah dilalui oleh Siti Aishah, Siti
Habshah, Ummu Salamah, Mariah Qibtiyah bila ditinggalkan Rasulullah. Syukur kau
terpilih untuk melalui jalan mujahadah. Mujur kau ditakdirkan merasai mehnah
Ilahi – tradisi hidup Ummahatul mukminin yang ditinggalkan suami!
Andai
dia pergi dulu sebelum mu, sibuklah diri mu. Beribadahlah sehingga kau letih
untuk merasa sedih. Gembirakanlah hati mu dengan menggembirakan orang lain.
Carilah peluang kebajikan dan kebaikan yang bertaburan. Bila sesekali kesedihan
datang tanpa diundang, berwuduk dan bacalah Al Quran. Dirikanlah solat,
sesungguhnya solat itu satu kerehatan. Begitulah setiap kali Rasulullah SAW
bila terasa gundah… diadukan kesedihan kepada Allah.
Andai
dia pergi dulu sebelum mu, bisikan ke dalam hati mu yang paling dalam. Dia
bukan milik ku. Dan aku pun bukan miliknya. Pemilik segala ialah Al Malik.
DIAlah yang memiliki dan menguasai segala-galanya. Pada kita hanya amanah,
sampai masanya terpaksa diserah. Jangan ada rasa dimiliki, dan
jangan ada rasa memiliki. Bila terasa sepi, jangan katakan aku sepi… tapi
katakan pada ku sentiasa ada pemerhati.
Apa
lagi yang boleh menggugat kebahagiaan seseorang manusia yang lebih hebat
daripada kematian? Kemiskinan, kesakitan, celaan, kekalahan dan lain-lain ujian
hidup adalah kecil berbanding kematian. Kematian adalah “pemutus” segala
kebahagiaan. Sama ada, kita ditinggalkan oleh orang yang kita sayangi. Atau
kita sendiri meninggalkan mereka. Saat itu, adalah saat yang paling derita.
Jika
kematian dikatakan boleh mencabut kebahagiaan, belajarlah daripada Rasulullah
SAW. Baginda telah menghadapi kematian orang yang tersayang secara berturut-turut
sepanjang hidupnya. Bermula dari alam rahim, baginda telah ditinggalkan oleh
ayahnya Abdullah. Enam tahun kemudian, ibunya Aminah meninggal dunia. Tidak
lama kemudian, semasa masih dahagakan kasih-sayang, datuknya Abdul Mutalib pula
pergi buat selamanya. Tinggallah dia dalam pemeliharaan ayah saudaranya, Abu
Talib.
Ketika
masih perlukan perlindungan Abu Talib, Rasulullah SAW ditinggalkan lagi. Abdul
Talib meninggal dunia ketika keislaman begitu didambakan. Sedangkan sebelumnya,
Rasulullah saw telah kehilangan isteri tersayangnya Siti khadijah… Lalu tahun
itu dinamakan tahun kesedihan!
Baginda
diberi enam orang anak lelaki yang meninggal semuanya sewaktu kecil. Anak-anak
yang ketiga dan keempat, meninggal dahulu di hadapan matanya. Alangkah rindunya
untuk mendapat cahaya mata lagi, lalu Rasulullah SAW dikurniakan anak lelaki,
Ibrahim. Kebetulan rupanya amat mirip dengan baginda. Tetapi Ibrahim juga
meninggal dunia ketika sarat menyusu.
Lalu
ditumpukan kasih sayangnya kepada cucundanya Hasan dan Husin. Sangat
dimanjakan, sehingga pernah sujudnya sedemikian lama hanya untuk memberi waktu
agar cucunya turun dari belakangnya. Namun, dari ilham Ilahi, baginda telah
tahu bahawa ada peristiwa besar bakal menimpa keduanya. Baginda hanya
memberitahu salah seorang daripadanya bakal mendamaikan perselisihan besar.
Dipendamkannya tragedi pembunuhan yang bakal dihadapi oleh Husin di
Karbala.
Begitulah
Rasulullah menghadapi saat perginya orang yang tersayang. Lalu bagaimana pula
keperibadiannya ketika baginda sendiri pergi meninggalkan orang yang tersayang?
Sejarah menceritakan bagaimana ketika baginda terbaring di hamparan yang telah
tua, berselimutkan kain kasar manakala minyak pelita lampu rumahnya hampir
kehabisan… ketika itulah baginda menyebut, “rafiqil a’la, rafiqil a’la – teman daerah tinggi (Allah), teman
daerah tinggi!”
Dalam
“kamus” kehidupan para muqarabin (orang yang hampir dengan Allah),
tercatatlah ungkapan bahawa mati itu adalah syarat menemui cinta. Ya, begitu
rindunya baginda untuk bertemu Allah – cinta hakiki dan sejatinya. Itulah teman
daerah tinggi yang sangat dirindunya. Perginya dengan tenang walaupun demam
panas yang dihidapinya dua kali ganda yang dialami manusia biasa.
Namun
begitu, di saat sakarat yang begitu hebat, masih sempat baginda berpesan
tentang solat. Untuk siapa? Siapa lagi kalau bukan untuk kita… umat yang akan
ditinggalkannya.
Semua
orang mengakui hakikat bahawa mati itu datang tiba-tiba. Tetapi aneh, manusia
yang pasti mati itu terus hidup sambil lewa.
Ketika
segala tragedi dan ujian menimpa, Rasulullah SAW tetap bahagia. Bahagia inilah
yang digambarkan oleh pembantunya, Anas bin Malik dengan pengisahannya:
“Aku
telah menjadi khadam Rasulullah SAW 10 tahun lamanya. Maka tidak pernah baginda
berkata atas apa yang aku kerjakan: “Mengapa engkau kerjakan?” Tidak pernah
pula baginda berkata atas apa yang aku tidak kerjakan: “Mengapa engkau tidak
kerjakan?” Tidak pernah baginda berkata pada barang yang ada: “Mengapa ada pula
barang ini?” Tidak pernah baginda berkata pada barang yang tidak ada:”Alangkah
baiknya kalau barang itu ada.” Kalau terjadi perselisihan antara aku dengan
ahli keluarganya, baginda akan berkata kepada keluarganya: “Biarlah, kerana apa
yang ditakdirkan Allah mesti terjadi!”
Inilah
bahagia yang dialami oleh Rasulullah SAW. Aku cuba mencungkil sekelumit rahsia
kebahagiaan yang hakiki ini. Mudah-mudahan kita akan dapat menghayati kunci
kata di sebalik model insan yang paling bahagia ini. Kunci kata itu tepat dan
padat – ana abdullahi walan yudhi’ani – aku hamba Allah, DIA tidak akan
mengecewakanku!”
KETIKA
RASULULLAH PERGI…
Tengah
hari itu…
gugur
butiran air mata di wajah mu
Hibanya hati
melepaskan Rasul pergi
Bukan tidak reda,
Tapi itulah hati
seorang isteri
pasti ada rasa
cinta!
Pada akrab sekian
lama yang terpisah
Bagai isi dan
kuku…
Tapi hakikatnya
kita semua hamba
Yang terpaksa akur
dengan takdir-Nya
Jalan mujahadah
menggamit kelangsungan budi
Setia seorang
isteri tanpa teman menabur jasa
makam itu cuma
semadi jasad…
Tapi
dian batinnya terus menyala
Pada
sebuah amanat di sisi isterinya
Wahai
srikandi cinta Rasul yang masih hiba
Duhai
srikandi budi yang masih lara
Sepuhlah
air mata di usia muda
Melangkahlah
semula dengan kukuh
kerna
jalan ini masih jauh
Yang
wafat cuma jasad
Bukan
niat dan semangat!
Citra
ini mengimbau sejarah ‘si merah’
–
Umamahatul Mukminin Siti Aisyah
di
usia remaja menjadi isteri Rasulullah
Teman
Rasul ketika berjuang membela umat
Teman
Rasul ketika di amuk sakarat
di
ribaannyalah baginda wafat
Sepeninggalan
Rasul…
Dialah
gedung ilmu yang mendidik tanpa jemu
Dialah
gunung budi yang berbakti tanpa henti
Dia
hanya kehilangan suami
Tapi
bukan kehilangan misi!
Sesekali
ketika rawan diusik kenangan…
Berteduh
di sejuk wuduk menawar gundah
Istirahat
hati pada satu hakikat…
Cintaku
hanya sedebu cinta-Nya
Relakanlah
dia pergi…
Menemui
temannya di daerah tinggi!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan