Ahad, 9 November 2014

Siapa Kita Disisi Allah Ta’ala?

“Kadang-kadang, aku tertanya sendiri bila duduk seorang-seorang. Siapa kita ni disisi Allah ya? Orang lain mungkin dah lebih advance mendapat tempat di sisi Allah, kita ni mungkin tak gerak-gerak pun walaupun rasa macam dah banyak sangat buat. Hahaha.”
Siapa kita disisi Allah?

Soalan itu benar-benar membuat saya terfikir. Sangat. Mungkin selama ini kita sibuk berfikir dan berusaha menempatkan diri kita pada pandangan manusia mengikut kelayakan yang manusia dambakan, tapi kita lupa untuk menilai dan bersoal jawab dengan diri kita sendiri bahawa siapa kita ini disisi Allah? Apa pandangan Allah terhadap kita?
Adakah Dia sudah redha? Atau pun sebaliknya? Na’udzubillah.
Memeriksa hubungan dengan Allah Ta’ala bukan sesuatu yang dilakukan sebulan sekali, dua minggu sekali atau seminggu sekali. Tapi sebenarnya perlu diperiksa selalu, setiap hari, setiap waktu. Ambillah waktu ketika bertemu dengan-Nya melalui perantaraan solat. Kadang-kadang kita terleka dalam mengejar keselesaan hidup di dunia.
Sebab itu jangan hairan, sekiranya kita tetap melakukan sesuatu pekerjaan yang baik dan tidak dimurkai oleh Allah, tapi kita sendiri terbabas niat untuk melakukannya dengan menetapkan dihati bahawa setiap sesuatu yang dilakukan itu haruslah dipaksikan kepada Allah Ta’ala. Hanya kerana Dia! Bagi saya, terlupa atau terlalai seketika itu biasa. Asal saja selepas itu kita cepat-cepat mengetuk jiwa sendiri.
Kalau tanya saya, bagaimana hendak memeriksa hubungan dengan Allah? Periksa perkara atau benda basic terlebih dahulu. Cuba lihat, kebersihan diri kita bagaimana? Kekemasan dan kebersihan bilik atau rumah kita macam mana? Akhlak kita sesama manusia, bagaimana? Diri kita, bagaimana? Terlebih-lebih pula, peribadi kita sendiri bagaimana?
Adakah semuanya baik-baik sahaja?
Orang sering terlupa lalu perkara asas dipandang enteng malah tidak mementingkannya. Baik, saya tidak mengatakan hal tersebut adalah tunggak kepada hubungan dengan Allah. Tapi saya katakan antara perkara-perkara asas yang perlu kita periksa. Yang setiap hari kita buat, dan merupakan rutin harian kita. Betul atau tidak?
Cuba bayangkan, kebersihan diri diabaikan. Kekemasan diri, rumah atau bilik memang jauh sekali untuk diambil berat. Akhlak sesama manusia pula haru-biru. Peribadi kita pula manusia tidak menyenangi, malahan. Asbab diri kita ini suka ambil lewa. Nah, katakan pada saya bagaimana peribadi seseorang yang mengabaikan antara perkara dari banyak perkara asas itu akan menjadi seseorang yang disenangi oleh Allah Ta’ala?
Sedangkan Islam itu mementingkan kebersihan. Kekemasan. Malah, Allah Ta’ala sendiri dirakamkan dalam sebuah hadis, bahawa Dia menyukai kecantikan.
“Sesungguhnya Allah itu cantik dan Allah sukakan kecantikan.”
(Hadis riwayat Muslim dan At-Tirmidzi)
Kita ini, menjadi manusia. Menjadi hamba-Nya yang terpilih untuk berada di muka bumi ini adalah untuk mahu membuat ALLAh suka kepada kita!
Selepas itu periksalah pula solat kita bagaimana. Ada orang, cepat sahaja kakinya bergerak melangkah untuk menghadap Tuhan Punya Dunia usai azan berkumandang. Ada orang pula, takkan solat selagi belum berada dihujung waktu perpindahan waktu solat. Saya jadi teringat pada sindiran Ustaz Nizam ketika berada di dalam kelasnya dulu, “Kalau makwe/pakwe call, cepat je kamu semua nak angkat ye. Siap sopan santunnya lagi. Tapi kalau Tuhan panggil solat, tak naklah pula. Eh kamu kena ingat ya, solat itu ialah menuju kejayaan!”
Hendak tengok bagaimana pentingnya Allah dalam hidup kita, tengok pada waktu kita menunaikan solat. Adakah kita bersegera kepada-Nya? Atau kita sengaja berlambat-lambat kepada-Nya? Kalau ya, maka diri itu perlu diperiksa semula.
Apakah manusia mengharapkan bantuan Allah cepat tiba kepadanya saat dirinya ditimpa ujian. Tetapi dirinya tidak bersegera kepada Allah memenuhi panggilan?
Apakah manusia tidak mempunyai malu?
Firman Allah Ta’ala, “Dan sesiapa yang kufur, maka sesungguhnya Tuhanku Maha Kaya lagi Maha Mulia.” Surah an-Naml : 40


Tiada ulasan:

Catat Ulasan